Kehidupan awal Maria Menado

Dilahirkan di Tonsea, Minahasa, Manado, Sulawesi Utara, Maria dihantar ke Makassar (Ujung Padang) untuk tinggal dengan ibu bapa saudaranya apabila ibu bapanya meninggal dunia sewaktu beliau berumur tujuh tahun. Bagaimanapun, pertempuran antara pihak Belanda dengan pejuang-pejuang nasionalis memaksakan mereka berpindah ke Jakarta.

Sewaktu Maria berumur 17 tahun, kejelitaannya menyebabkan beliau menerima tawaran untuk menayangkan baju kebaya di Singapura, dan kemudiannya di Malaya. Diiringi oleh ibu bapa saudaranya, perjalanan pada 1950 membawa Maria ke Singapura, Kuala Lumpur, Ipoh, dan Pulau Pinang.

Sewaktu di Malaya dan Singapura, rusuhan Maria Hertogh berlaku. Maria Hertogh, seorang gadis Belanda yang telah diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga beragama Islam dan diberikan nama "Natrah" telah dikahwinkan oleh ibu bapa angkatnya pada tahun 1950 sewaktu berumur 13. Mahkamah Agung membatalkan perkahwinan itu kerana Maria tidak cukup umur dan memutuskan bahawa Natrah dikembalikan kepada ibu kandungnya yang kemudian membawanya balik ke negeri Belanda. Keputusan kes ini mengakibatkan rusuhan perkauman di Singapura yang berlangsung selama dua hari. Maria mengikut kes ini dengan penuh minat dan juga memperoleh nama samaran "Maria". Kawan-kawannya kemudian menggelarkannya sebagai "Maria dari Menado" (tempat lahirnya) dan nama itu telah menjadi kekal.